mutakhir

Dua laporan polis diterima

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

POLIS menerima dua laporan berhubung kejadian pergaduhan dikatakan membabitkan pegawai dari Bukit Aman dan peniaga sebuah gerai burger di Taman Rasah Jaya, Seremban yang videonya tular di Facebook hari ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, laporan itu dibuat pegawai polis dan peniaga terbabit 9 Januari lalu.

“Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, peniaga berusia 30 tahun itu didatangi dua lelaki yang memperkenalkan diri sebagai polis dan memintanya menunjukkan kad pengenalan tetapi tidak diberikan dengan alasan tidak menunjukkan kad kuasa.

“Berikutan itu, berlaku pertengkaran antara mereka. Berdasarkan siasatan awal polis, ia disebabkan oleh salah faham antara kedua-dua pihak,” katanya hari ini.

Noor Azam berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipan.

Video pergaduhan berkenaan yang berdurasi 45 saat itu tular di Facebook hari ini dan sudah dilihat hampir 100,000 pengguna laman sosial itu selain dikongsi hampir 100 orang.

Laporan polis yang dibuat peniaga terbabit dan gambar yang didakwa pegawai polis itu turut tular.

Disiarkan pada: January 20, 2019 @ 4:09pm
d