mutakhir

Tembak selepas samun

Oleh Ruwaida Md Zain

SEBUAH pasar mini di Sri Cheding, Kuala Langat mengalami kerugian ribuan ringgit selepas disamun dua penjenayah bertopeng bersenjatakan pistol dan turut melepaskan tembakan, semalam.

Dalam kejadian jam 3.15 petang itu, kedua-dua lelaki tempatan berkenaan dipercayai menaiki Perodua Myvi biru.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, siasatan awal mendapati suspek meluru masuk dan memaksa penjaga kaunter premis itu membuka mesin juruwang.

“Akibat ketakutan diugut seorang daripada suspek yang mahu menembaknya, pekerja itu segera membuka mesin terbabit.

“Kedua-dua suspek mengambil wang dan beberapa kotak rokok lalu melarikan diri dipercayai menghala ke Shah Alam,” katanya hari ini.

Menurutnya, penjaga kaunter itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan nilai kerugian dianggarkan RM2,500.

Azizan berkata, pemeriksaan mendapati terdapat kesan tembakan pada siling premis selain lapan kesan cap jari di lokasi kejadian.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), seorang suspek didapati berbadan kurus dan tinggi manakala seorang lagi berbadan gempal serta tinggi.

“Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat (FIPA) 1971,” katanya.

Disiarkan pada: January 20, 2019 @ 4:24pm
d