mutakhir

'Arwah takut lemas'

Oleh Rosli Ilham

“SAYA terkejut dia (arwah) tiba-tiba turun mandi bersama kami sedangkan pada mulanya dia tidak mahu mandi kerana takut lemas,” kata Muhammad Aiman Fadli, 19, selepas rakannya lemas ketika mandi di Pantai Jambu Bongkok, Marang hari ini.

Muhammad Yusoffe Abdullah, 21, dari Kampung Badang, Kota Baharu ditemui lemas ketika mandi bersama empat rakannya, jam 2.25 petang.

Muhammad Aiman berkata, dia bersama arwah serta tiga lagi sahabat, Ahmad Arsyad Al Hakimi Razali, 19; Shafuan Rosli, 17, dan Raja Mohd Firdaus Ibrahim, 19, mandi di pantai itu jam 12 tengah hari.

Katanya, mereka yang berasal dari Kelantan tiba di Kampung Jambu Bongkok malam tadi kerana mendapat tawaran kerja di kawasan Projek Tenaga Solar tidak jauh dari situ.

“Kami sepatutnya mula bekerja esok dan menginap di sebuah inap desa di situ. Kami mengambil keputusan untuk mandi di pantai itu.

“Selepas arwah mengatakan tidak mahu mandi, saya minta dia berehat di inap desa sebelum kami turun mandi, “katanya.

Menurutnya, lima minit selepas itu, arwah tiba-tiba turun dan menukar seluar mandi lalu terjun ke laut.

“Arwah ketika itu mandi di tengah dan kami memintanya berhati-hati kerana ketika itu ombak agak besar.

“Lima minit selepas itu, kami mendengar arwah meminta tolong sebelum dia dipukul ombak lalu hilang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, pasukan bomba yang menjalankan gerakan mencari dan menyelamat menemui mangsa yang timbul di permukaan air jam 2.25 petang.

“Jenazah mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu,” katanya.

Disiarkan pada: January 20, 2019 @ 5:27pm
d