mutakhir

Siapa suruh terjun...?

Oleh Safuri Kamarudin

PANIK melihat kehadiran pihak berkuasa menyebabkan seorang lelaki sanggup terjun dari tingkat dua sebuah hotel di Baling bagi mengelak dicekup kerana disyaki berkhalwat, semalam.

Lelaki berusia 30-an itu bagaimanapun ditahan anggota Pejabat Agama Daerah Baling bersama pasangannya berusia 20-an dalam Ops Azam yang dijalankan bermula jam 11 malam.

Pegawai Pejabat Agama Daerah Baling Sheikh Mohamad Naem Ahmad berkata, operasi itu membabitkan seramai 15 anggota diketuai Sheikh Mohd Rasydan A Rahman tertumpu di beberapa lokasi iaitu hotel dan kolam air panas Ulu Legong.

“Dalam kes itu, lelaki terbabit cuba terjun dari tingkat dua sebuah hotel di pekan ini tidak berjaya kerana tersangkut di bumbung.

“Kita menahan pasangan itu yang bukan mahram kerana berkhalwat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah Darul Aman 2014,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sheikh Mohamad Naem berkata, dalam operasi itu, dua pasangan lain turut menerima surat saman untuk hadir ke Pejabat Agama Daerah Baling bagi siasatan lanjut.

“Mereka didapati melakukan perbuatan tidak sopan di khalayak ramai mengikut Seksyen 27 enakmen yang sama,” katanya.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa dan masyarakat supaya mengambil berat hal anak-anak selain menjaga kemurniaan agama Islam.

“Ini operasi pertama awal tahun ini dan akan berterusan bagi mencegah perkara mungkar.

“Kita memandang serius dan meminta ibu bapa terus mengawal pergerakan anak-anak mereka termasuk yang masih dibangku sekolah," katanya.

Disiarkan pada: January 20, 2019 @ 7:08pm
d