mutakhir

'Hadiah untuk Tuanku' [METROTV]

Oleh Mohd Sabran Md Sani

“INI hadiah kami buat Tuanku,” kata Pengerusi Kuil Arulmigu Thendayuthapani di Jalan Kuel, Wadi Hana, Johor Bahru, C Vateemalee mengenai potret istimewa dihadiahkan kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar hari ini.

Beliau berkata, potret itu ditempah khas daripada pelukis berbakat dari Chennai, Tamil Nadu, India, yang diolah dari gambar Sultan Ibrahim ketika Program Kembara Mahkota Johor.

“Kebetulan seorang daripada kakitangan kuil mengenali pelukis terbabit dan kami membuat tempahan khas sempena keberangkatan tiba Tuanku di majlis sambutan Thaipusam hari ini.

“Karya dihasilkan sangat menarik dan ia tiba di negara ini dua hari lalu melalui wakil kami yang berada di negara terbabit ketika itu,” katanya ditemui di kuil itu hari ini.

Katanya, dia tidak sangka Sultan Ibrahim gembira menerima potret terbabit, malah menerima tepukan ramai sebaik ia diserahkan.

Sementara itu pengunjung, Kamala Rajoo berkata dia sangat gembira melihat kehadiran Sultan Ibrahim ke majlis seperti itu, selain menyifatkan Baginda individu mesra rakyat.

“Saya memang cukup gembira dan melihat dari jarak dekat, Baginda memang seorang yang mesra rakyat,” katanya yang hadir ke situ jam 9.30 pagi.

Seorang peniaga, R Sugumar, 44, berkata, ini tahun ke 10 dia membuka gerai bagi menyampaikan pelbagai hidangan secara percuma kepada pengunjung di kuil terbabit.

“Kali ini saya menyediakan kira-kira 1,000 bungkus nasi goreng dan bihun goreng tomyam vegetarian, selain nasi lemak yang mendapat permintaan tinggi setiap tahun.

“Pada sebelah petang, saya menyediakan susu masam, mangga dan strawberi lasi dan malam ini pula menu kek vegetarian, samosa dan popia,” katanya.

Terdahulu tinjauan di kuil itu mendapati penganut agama Hindu bertali arus mengunjungi kuil berkenaan dan ia berlangsung sejak malam tadi.

Pelbagai gerai dibuka bagi memberi peluang kepada orang ramai terutama mereka yang menunaikan niat atau nazar membeli makanan sepanjang majlis berlangsung, selain tidak kurang bersedekah dengan memberikan hidangan percuma.

Disiarkan pada: January 21, 2019 @ 2:34pm
d