mutakhir

Orang tegur pun tak jawab...

Oleh Rosli Ilham

SEORANG lelaki dipercayai menembak dirinya sendiri dalam kejadian di Taman Raya, Paka, Dungun, hari ini.

Lelaki berusia 59 tahun itu ditemui mati dalam keadaan tersandar di kerusi di luar rumahnya pada 11.15 pagi.

Sumber berkata, sebelum kejadian, lelaki itu dikatakan duduk di atas kerusi terbabit sambil memegang sepucuk senapang patah miliknya.

“Isterinya ada menegur kenapa lelaki itu membawa keluar senapangnya itu dan dia hanya menjawab ingin melihat senapangnya.

“Ketika isterinya cuba mengambil untuk menyimpan senapangnya itu, lelaki terbabit dikatakan merampas senapang itu dan meletakkan di lehernya sebelum menarik picu senapang terbabit,” katanya.

Sementara itu, jiran lelaki terbabit, Muhammad Danish Jamaluddin, 21, berkata, ketika kejadian dia berada di dalam rumahnya sebelum terdengar satu letupan kuat.

Katanya, dia tidak menyangka letupan itu dari senapang lelaki itu kerana mendiang sebelum ini sering menghalau anjing liar di depan rumah dengan mercun.

“Saya mendengar isteri lelaki itu menangis dengan kuat sebelum saya keluar untuk melihat apa yang berlaku.

“Saya terkejut apabila mendapati lelaki itu sudah meninggal dunia dengan keadaan berlubang di lehernya dan peluru itu menembusi belakang kepalanya,” katanya.

Beliau berkata, beberapa jiran lain kemudiannya datang menyaksikan kejadian itu sebelum menghubungi polis.

“Lelaki itu sangat baik dan sering bertegur sapa dengan saya dan sejak kebelakangan ini dia kelihatan berdiam diri mungkin menghadapi tekanan.

“Kali terakhir saya bertemunya petang semalam dan saya ada menegurnya, namun dia tidak membalas sapaan saya dan hari ini saya terkejut dia menembak dirinya sendiri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, polis yang menerima laporan bergegas ke lokasi kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengetahui motif sebenar kejadian.

“Mayat mendiang akan dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: January 21, 2019 @ 3:37pm
d