mutakhir

Penjenayah kempunan

Oleh Muhammad Mustakim Ramli

BARU sebulan disamun, sebuah kedai emas di Jalan Ibrahim, Sungai Petani menjadi sasaran sekali lagi apabila dipecah masuk hari ini.

Bagaimanapun dalam kejadian jam 10 pagi itu penjenayah gagal membawa lari barangan kemas berikutan melarikan diri selepas penggera keselamatan berbunyi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, ketika kejadian kedai itu baru dibuka dan semua barangan kemas baru dimasukkan ke dalam peti pameran.

“Terdapat dua suspek masing-masing memakai topi keledar dengan berpenutup gelap.

“Salah seorang suspek mengacukan objek seperti pistol manakala seorang lagi memecahkan peti pameran.

“Suspek melarikan diri selepas penggera berbunyi dan gagal melarikan barangan kemas,” katanya hari ini.

Adzli berkata, ketika kejadian terdapat lima saksi iaitu pekerja premis berkenaan dan mereka selamat.

“Berdasarkan semakan kamera litar tertutup (CCTV), suspek pertama berbadan gempal, memakai baju putih dan merah. Selain seluar gelap dan kasut hitam serta memegang tukul.

“Suspek kedua pula berbadan kecil memakai jaket kuning, seluar panjang gelap dan kasut putih serta memegang objek seperti pistol,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun.

Sebelum ini NSTP melaporkan dalam kejadian 15 Disember lalu sebuah kedai emas kerugian RM200,000 selepas disamun jam 2.50 petang.

Disiarkan pada: January 21, 2019 @ 4:34pm
d