mutakhir

[UPDATE] Warga Pakistan masih diburu

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

POLIS masih mengesan lelaki warga Pakistan yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan sehingga menyebabkan wanita mati ditikam, Sabtu lalu.

Usaha menjejaki lelaki berusia 54 tahun itu yang juga peniaga kedai runcit di Jalan Kerapu 23, Taman Permai, Seremban giat dilakukan selepas dia melarikan diri sebaik kejadian.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kes masih dalam siasatan lanjut dan bagi sedikit masa lagi. Saya akan maklumkan perkembangannya dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Difahamkan, suspek sudah menjalankan perniagaan kedai runcit itu sejak 10 tahun lalu selepas mendirikan rumah tangga dengan wanita tempatan.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi, mangsa D Shaleni, 31, yang pada mulanya parah akibat ditikam di perut oleh suspek meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ).

Sebelum kejadian, mangsa dan suaminya yang berusia 49 tahun serta rakan berusia 60 tahun meletakkan kereta di hadapan kedai runcit milik suspek untuk ke restoran mereka yang terletak berhampiran.

Sumber berkata, anak lelaki peniaga kedai runcit berusia 14 tahun bermain lampu laser dan terkena pada muka rakan pasangan itu menyebabkan mereka memarahi remaja itu.

Pasangan itu kemudian masuk ke kedai runcit sebelum berlaku pertengkaran dengan ibu remaja terbabit yang kemudian menghalau mereka keluar dari kedainya.

Suami mangsa dipercayai mengambil pisau pemotong sayur lalu mengacukannya kepada ibu remaja itu.

Tindakannya menyebabkan suami wanita itu iaitu suspek masuk campur sehingga berlaku pergelutan.

Berita berkaitan

Peniaga maut ditikam

Disiarkan pada: January 21, 2019 @ 5:21pm
d