mutakhir

Nelayan maut jatuh dari bumbung

Oleh Hadzlihady Hassan

SEORANG nelayan maut selepas terjatuh ketika memasang paip di atas bumbung bangsal sampan dalam kejadian di tepi sungai, Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau, hari ini.

Mangsa, Lim Cheang Thiang, 49, meninggal dunia selepas mengalami kecederaan di kepala dan badan kerana terjatuh dari ketinggian lebih tiga meter.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, ketika kejadian mangsa bersama abangnya berusia 68 tahun berada dalam sampan berkenaan.

Menurutnya, mangsa dipercayai terjatuh selepas bumbung yang dipijak pecah sebelum jatuh ke atas palang kayu seterusnya ke lantai simen menyebabkannya tidak sedarkan diri.

“Abang mangsa kemudian membawanya ke Hospital Balik Pulau dengan bantuan beberapa rakan.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Disiarkan pada: January 21, 2019 @ 8:52pm
d