mutakhir

'Disuruh belajar kau hisap ganja'

Oleh Farah Suhaidah Othman

LIMA lelaki termasuk empat pelajar sebuah institut pengajian tinggi (IPT) swasta ditahan selepas dipercayai terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di sebuah rumah di Taman Chandan Puteri, di Kuala Kangsar semalam.

Empat pelajar dan seorang penganggur berusia antara 21 hingga 24 tahun itu ditahan dalam serbuan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar pada jam 4 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, hasil pemeriksaan di rumah berkenaan, pihaknya menemui satu paket lutsinar mengandungi dadah dipercayai ganja seberat 1.29 gram dalam bekas plastik berpenutup kuning.

Katanya, dalam serbuan itu polis turut merampas peralatan dipercayai untuk menghisap dadah.

“Turut dirampas botol plastik yang diubahsuai untuk menghisap dadah dan bekas bulat dipercayai alat pengisar kanabis tertera perkataan ‘grass leaf’ di atas lantai dalam sebuah bilik di rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, ujian awal saringan air kencing mendapati dua daripada lima suspek iaitu seorang pelajar dan penganggur positif ganja.

“Semua suspek direman empat hari hingga Khamis ini untuk siasatan lanjut dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Disiarkan pada: January 22, 2019 @ 9:41am
d