mutakhir

SPR tiada kuasa tangkap, siasat [METROTV]

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) tidak boleh melaksanakan tindakan segera seperti menyiasat atau menangkap individu yang dituduh berkaitan kesalahan sepanjang proses pilihan raya di negara ini.

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya sudah melaksanakan tugasnya sedaya upaya mengikut kuasa sedia ada di bawah peruntukan undang-undang yang diberikan kepadanya.

Menurutnya, dakwaan sesetengah pihak mengatakan SPR ‘rabun’ atau mengabaikan laporan kesalahan-kesalahan yang berlaku ketika proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands atau perlunya mengambil tindakan segera tidak sepatutnya timbul.

“Kalau ada pihak yang inginkan saya buat lebih seperti menyiasat, menangkap atau sebagainya saya rasa mereka patut pergi ke Parlimen (Dewan Rakyat) dan suruh Ahli Parlimen meluluskan undang-undang baharu.

“Sebabnya undang-undang ketika ini tak ada peruntukan-peruntukan sedemikian untuk SPR,” katanya ketika ditemui media ketika meninjau proses pengundian awal PRK Parlimen Cameron Highlands di pusat mengundi undi awal di Bilik Maklumat Balai Polis Brinchang hari ini.

Azhar berkata demikian ketika diminta mengulas apakah tindakan segera yang boleh dilakukan SPR untuk mengheret mereka yang didakwa melakukan kesalahan sepanjang proses pilihan raya sementara menunggu keputusan siasatan pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Satu-satunya tindakan yang boleh kita ambil segera atau tidak adalah dengan membuat laporan polis atau SPRM terhadap tuduhan itu. Jadi siapa sahaja ada maklumat terus buat laporan kepada pihak berkuasa.

“Biar pihak berkuasa jalankan tugas mereka mengikut undang-undang sedia ada. Atau adakah rakyat mahu melihat saya buat tindakan yang salah di sisi undang-undang?

“Bukan senang nak heret orang ke mahkamah. Pihak berkuasa kena periksa fakta itu betul ke tidak, ada penerangan atau tidak kerana itu sememangnya sistem pengadilan yang diguna pakai di seluruh Komanwel.

“Sistem keadilan jenayah kita memang begitu jadi kita kena faham,” katanya.

Proses pengundian awal hari ini membabitkan seramai 247 pengundi terdiri daripada anggota polis di dua pusat pengundian yang dibuka tepat jam 8 pagi tadi.

Daripada jumlah itu seramai 232 orang pengundi adalah bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata yang mengundi di Balai Polis Brinchang sehingga jam 5 petang ini.

Bakinya seramai 15 orang lagi adalah bagi DUN Jelai yang mengundi di Balai Polis Sungai Koyan sehingga pusat pengundian itu ditutup pada jam 2 petang.

Disiarkan pada: January 22, 2019 @ 12:25pm
d