mutakhir

Tolong...

Oleh Safuri Kamarudin

PENDUDUK Kampung Kuala Nau, Mukim Bakai, dekat Baling, dikejutkan dengan penemuan janin bayi yang dibuang di tepi jalan berdekatan masjid kampung itu, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi itu, seorang penduduk yang ingin menoreh getah tercium bau busuk sebelum menemui bungkusan hitam beserta nota di tepi jalan.

Nota bertulis perkataan ‘TOLONG’ itu dipercayai bertujuan meminta bantuan penduduk kampung mengebumikan janin bayi yang dipercayai lahir tidak cukup bulan itu.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shariffuddin Yusuf berkata, janin berkenaan dipercayai dilahirkan dalam tempoh 24 jam berdasarkan keadaannya yang sudah berbau dan kehitaman.

“Penduduk kampung menjumpai bungkusan plastik di tepi jalan berdekatan masjid yang di dalamnya terdapat janin bayi.

“Berdekatan bungkusan itu juga diletak nota dengan perkataan ‘TOLONG’ dipercayai ditinggalkan suspek ,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shariffuddin berkata, pihaknya sedang menunggu keputusan bedah siasat janin terbabit bagi memastikan bayi itu meninggal ketika lahir atau sebaliknya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan janin terbabit dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat.

Disiarkan pada: January 22, 2019 @ 4:19pm
d