mutakhir

Banglo mewah pusat operasi judi

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Menjadikan banglo mewah tiga tingkat lengkap dengan kolam renang bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

Itu modus operandi sindiket didalangi warga China yang menjadikan dua banglo mewah sebagai pusat operasi perjudian dalam talian.

Bagaimanapun kegiatan mereka berjaya dibongkar Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor diketuai Inspektor Yap Keat Hua dalam dua serbuan di Taman Melawati, Ampang Jaya, hari ini.

Dalam serbuan kira-kira 1 tengah hari itu, seramai 23 individu termasuk dua wanita warga China berjaya ditahan.

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, semua individu yang ditahan berusia antara 20 hingga 36 tahun dan premis itu sudah beroperasi selama dua bulan.

“Serbuan turut berjaya merampas 10 komputer riba, 10 komputer dan 85 telefon pintar.

“Semua pekerja warga China berkenaan dibayar RM3,000 sebulan bagi melakukan kerja promosi perjudian dalam talian kepada warga China,” katanya ketika ditemui selepas operasi terbabit.

Mohd Khaizam berkata, sindiket ini akan mempromosikan perjudian dalam talian melalui media sosial khas buat warga China.

“Pusat operasi ini hanya dijadikan sebagai pusat pengurusan dan pemasaran untuk menarik pelanggan dari China berjudi melalui laman web yang disediakan.

“Setakat ini polis masih mengesan dalang utama yang menjalankan pusat operasi berkenaan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya percaya rumah banglo berkenaan disewa oleh sindiket, namun nilai sebenar belum diketahui.

“Semua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk proses dokumentasi.

“Kes disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Disiarkan pada: January 22, 2019 @ 5:21pm
d