mutakhir

Ini betul haru, tipu ucapan TPM

Oleh BERNAMA

TIMBALAN Perdana Menteri tidak pernah meluluskan teks ucapan yang dibaca pada pelancaran projek jalur lebar berkelajuan tinggi Gerbang Internet Antarabangsa Malaysia Yang Dipertingkat (EM-IIG), hari ini.

Pejabat Timbalan Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini berkata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga tidak mewakilkan kepada sesiapa untuk membaca teks ucapan beliau pada majlis tersebut.

Menurut Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah tidak pernah sama sekali berkata bahawa kerajaan akan memberi kerjasama penuh kepada pelaksanaan projek EM-IIG.

“Laporan berita yang memetik ucapan daripada Timbalan Perdana Menteri berkaitan projek EM-IIG yang dibangunkan oleh Xiddig Cellular Communications Sdn Bhd adalah tidak benar,” katanya.

Pejabat Timbalan Perdana Menteri turut memberi amaran kepada semua organisasi supaya tidak menggunakan atau mengedarkan bahan seperti teks ucapan yang menggunakan nama Timbalan Perdana Menteri tanpa kebenaran.

“Menggunakan nama Timbalan Perdana Menteri tanpa kebenaran beliau adalah perkara yang serius,” kata Pejabat Timbalan Perdana Menteri, sambil menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil jika situasi seperti itu berulang.

Menurut laporan media, teks ucapan Timbalan Perdana Menteri dibacakan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon pada majlis pelancaran projek EM-IIG di sebuah hotel di Shah Alam hari ini.

Menurut laporan, projek bernilai RM5.45 bilion itu merangkumi pemasangan fiber gentian optik terbesar dunia membabitkan jajaran sepanjang 110,000 kilometer, yang membolehkan Malaysia bakal memiliki akses kelajuan internet terpantas yang menyediakan platform 5G pertama di Asia Tenggara.

Disiarkan pada: January 22, 2019 @ 5:21pm
d