mutakhir

Tak kebal mana pun juga...

Oleh Iskandar Shah Mohamed

KEGIATAN haram satu sindiket menjadikan sebuah rumah teres dua tingkat di kawasan perumahan elit di Bandar Puteri, Puchong sebagai stor simpanan arak.

Malah, aktiviti itu berlarutan sehingga enam bulan selepas kawasan berkenaan dikatakan kebal daripada pihak berkuasa.

Namun kekebalan itu tidak lama apabila berjaya dikesan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Selangor yang kemudian melakukan serbuan, minggu lalu.

Dalam serbuan itu, pelbagai arak berjenama disyaki tiruan bernilai RM632,265 ditemui dan ia dipercayai untuk dijual bagi pasaran Puchong.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Selangor Azman Adam berkata, serbuan dilakukan kira-kira 3 petang, 15 Januari lalu hasil maklumat awam mengenai aktiviti mencurigakan di rumah itu.

“Kita terlebih dulu mengetuk pintu pagar dan memanggil penghuni rumah berkenaan namun, masih tiada sahutan selepas hampir 30 minit menunggu.

“Keadaan itu menyebabkan kunci pintu pagar dipecahkan selain pintu utama premis. Penggeledahan dibuat selepas waran geledah diperoleh.

“Hasil pemeriksaan kemudian menemui 3,500 botol pelbagai jenama yang disyaki tiruan dan dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya, hari ini.

Azman berkata, siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011 dan pihaknya turut mengeluarkan Kenyataan Pemeriksaan Premis dan Akuan Penyitaan.

“Jika sabit kesalahan, individu itu boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM10,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan penyewa atau pemilik premis itu.

Disiarkan pada: January 22, 2019 @ 6:38pm
d