mutakhir

Gamok mung tapo anok...

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

SEORANG wanita bukan hanya ditampar tetapi turut diugut dengan sebatang besi oleh bapanya dalam perselisihan faham berkaitan tanah pusaka di Kampung Gerong Apal, Jerteh, semalam.

Selain memukul dan mengugut anaknya yang berusia 25 tahun, suspek berusia 50-an turut mengugut ibu mangsa yang juga bekas isterinya dalam kejadian itu pada 7.10 malam.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, dua beranak itu dikatakan berjumpa suspek untuk bertanya mengenai isu tanah pusaka milik datuk mangsa (bapa suspek).

“Pertanyaan itu menyebabkan suspek naik angin, lalu menampar mukanya.

“Selain itu, suspek turut mengacukan besi tajam ke arah mangsa dan bekas isterinya berusia 58 tahun.

“Suspek juga mengugut akan mencederakan bapa saudara mangsa,” katanya.

Mohd Zamri berkata, susulan kejadian itu, mangsa yang bimbang keselamatan diri dan keluarga membuat laporan di Balai Polis Jerteh untuk tindakan lanjut.

Katanya, usaha mengesan suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 323 KK kerana dengan sengaja menyebabkan cedera.

Disiarkan pada: January 22, 2019 @ 6:52pm
d