mutakhir

Dugaan si kembar

Oleh Mary Victoria Dass

“SUATU ketika dulu, memang semua kenalan keluarga berasa hairan dengan ketekunan anak kembar saya dalam soal mencari duit bagi meringankan beban keluarga, malangnya kini kedua-duanya hilang upaya dan hanya bergerak secara mengengsot,” kata ibu tunggal, Aizah Mustapha, 48.

Ibu kepada lima anak itu berkata, anak kembarnya, Rafi’uddin Anwar Rosli yang juga anak sulung dan anak kedua, Rafi’uddin Asyraf, 25, mengambil alih tanggungjawab sebagai ketua keluarga selepas kematian suami, empat tahun lalu.

Menurutnya, mereka berdua pernah meringankan beban keluarga dengan menjaja kuih muih dan mengumpul barang kitar semula ketika kanak-kanak hingga dewasa.

Katanya, selepas tamat persekolahan, Rafi’uddin Anwar bekerja sebagai pembantu stor di kedai serbaneka selama empat tahun, manakala Rafi’uddin Asyraf bekerja di stesen minyak selama tiga tahun.

“Mereka memang anak yang soleh dan banyak berkorban demi keluarga,” katanya.

Aizah berkata, anak kembarnya mempunyai banyak persamaan termasuk dalam soal kesihatan.

“Ketika Rafi’uddin Anwar Rosli sihat, Rafi’uddin Asyraf juga sihat bagaimanapun sekiranya salah seorang sakit, mereka berdua akan jatuh sakit.

“Namun, tidak sangka kedua-duanya diduga Allah secara serentak apabila dikesan mengalami masalah saraf sejak lapan tahun lalu dan keadaan mereka semakin buruk sejak tiga tahun lalu hingga terpaksa berhenti, mereka kini tidak boleh berdiri dan berjalan sebaliknya hanya bergerak secara mengengsot,” katanya.

Aizah berkata, anak kembarnya dapat menerima kenyataan bahawa penyakit saraf itu tidak mempunyai sebarang ubat dan terpaksa menjalani pemeriksaan kesihatan selama enam bulan sekali selain diberi pilihan menjalani rawatan fisioterapi sebanyak tiga bulan sekali.

Menurutnya, anak kembarnya faham mengenai penyakit itu kerana suaminya, Rosli Abdul Rahim, meninggal dunia akibat penyakit sama dan mereka pernah menjaga arwah suaminya itu.

“Sejak beberapa tahun lalu, saya menjaga mereka dengan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan dan faedah pencen Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) arwah suami sebanyak RM739.

“Namun, ia tidak mencukupi kerana kami perlu membeli keperluan harian dan kos perubatan mereka berdua, sedangkan tahap kesihatan mereka semakin merosot sejak beberapa tahun lalu.

“Anak ketiga saya berusia 23 tahun bekerja di kedai serbaneka dengan pendapatan sederhana, manakala anak keempat berusia 20 tahun masih mencari pekerjaan, anak kelima iaitu bongsu masih bersekolah di Tingkatan Satu,” katanya.

Aizah berkata, dia bersyukur kerana hari ini menerima berita baik apabila kedua-dua anak kembarnya layak menerima pencen ilat daripada PERKESO.

“Mereka juga menerima sumbangan lain seperti kerusi roda kerana sebelum ini mereka perlu mengengsot dan perlu didukung kerana tidak mampu berjalan.

“Saya berharap ia memberi keselesaan kepada mereka,” katanya selepas menerima bantuan dua kerusi roda dan lampin pakai buang daripada PERKESO di rumahnya Flat Sri Lanang, di Johor Bahru, hari ini.

Hadir menyampaikan sumbangan adalah Pengarah PERKESO negeri, Tong Sing Chuan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Tebrau, Steven Choong.

Sementara itu, Tong berkata, kedua-dua kembar berkenaan layak menerima faedah pencen ilat selepas PERKESO menerima permohonan Disember lalu.

“Rafi’uddin Anwar layak terima pencen ilat sebanyak RM650 sebulan dan Rafi’uddin Asyraf sebanyak RM475.

“Selain itu kita beri alat pemulihan untuk mereka seperti kerusi roda dan lampin pakai buang dan sekiranya mereka perlukan fisioterapi, kami sedia memberi peruntukan kepada mereka,” katanya.

Disiarkan pada: January 22, 2019 @ 7:22pm
d