mutakhir

Buruh binaan maut lantai runtuh

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

PEKERJA binaan warga Bangladesh maut selepas lantai bangunan dalam pembinaan runtuh di Taman Hi-Tech Subang, Subang Jaya, hari ini.

Dalam kejadian 4.44 petang itu, mangsa berusia 43 tahun baru selesai melakukan kerja pembinaan kawasan terbabit.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Muhammad Azlin Sadari berkata, ketika kejadian terdapat beberapa lagi buruh binaan berada di tempat kejadian.

“Ketika kejadian mangsa baru selesai kerja dan secara tiba-tiba lantai berkenaan runtuh.

“Mangsa terjatuh bersama serpihan lantai yang runtuh kemudian terperangkap di bawah timbunan besi perancah dan bancuhan simen,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Nurizham Mohd Nudin berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.44 petang berhubung kejadian.

“Seramai lima anggota bersama dua pegawai dikerah ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera.

“Mangsa ditemui jam 5.42 petang dan setakat ini kerja mengeluarkan mangsa sedang giat dilakukan,” katanya.

Norizham berkata, Pasukan Khas Taktikal Operasi dan Penyelamat (STORM) turut digerakkan ke lokasi kejadian.

“Mangsa terperangkap akibat besi perancah menghempapnya dan usaha mengeluarkan mangsa sedang giat dijalankan.

“Punca kejadian adalah disebabkan struktur bangunan yang belum kukuh sebelum kejadian berlaku, “katanya.

Difahamkan, bangunan berkenaan adalah sebuah kilang yang dalam proses pembinaan.

Disiarkan pada: January 22, 2019 @ 8:29pm
d