mutakhir

'Jangan lupa hutang PP RM655 juta BN tolong selesai'

Oleh Idris Musa

“JANGAN lupa zaman @guanenglim jadi Ketua Menteri Pulau Pinang, Kerajaan Pusat BN (Barisan Nasional) juga yang bantu selesaikan hutang RM655 juta yang Pulau Pinang perlu bayar, jadi tak perlu lah bongkak sangat sekarang dengan kerajaan Pahang,” kata Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin.

Beliau menyifatkan pendedahan Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengenai hutang Kerajaan Negeri Pahang adalah bermotifkan politik.

Menurutnya, ini kerana ketika ini berlangsungnya kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

“Saya telah semak hutang Pahang kepada kerajaan pusat, yang dipolitikkan oleh Lim dalam Laporan Ketua Audit Negara.

“Rupa-rupanya sebahagian besar (70 peratus) hutang Pahang berkaitan dengan air.

“Inilah hutang sama yang diselesaikan oleh kerajaan pusat untuk Pulau Pinang dulu,” katanya menerusi status Facebook dan ciapan Twitter semalam.

Media semalam melaporkan, Lim dalam kenyataannya berkata, hutang Kerajaan Negeri Pahang kepada Kerajaan Persekutuan pada 31 Disember 2018 berjumlah RM3.178 bilion.

Beliau berkata, Pahang mencatat belanjawan berdefisit dari 2014 hingga 2017.

Katanya, akibat pengurusan kewangan negeri yang lemah, negeri itu tidak berkemampuan untuk memenuhi obligasi hutangnya kepada Kerajaan Persekutuan, yang juga jumlah terbesar antara semua negeri di Malaysia.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, Lim menggunakan kedudukannya sebagai Menteri Kewangan dengan mengeluarkan kenyataan media untuk menyerang kedudukan hutang kerajaan negeri itu.

“Mengikut semakan Laporan Ketua Audit Negara 2017, daripada keseluruhan hutang kerajaan negeri Pahang kepada Kerajaan Persekutuan, RM2.2 bilion darinya adalah berkaitan dengan bayaran untuk bekalan air,” katanya.

Beliau berkata, sebagaimana negeri lain, hutang berkaitan bekalan air adalah sebahagian besar jumlah hutang mereka kepada Kerajaan Persekutuan dan ia boleh dihapuskan apabila penstrukturan semula dilaksanakan dengan memberi pajakan kepada Kerajaan Persekutuan.

Katanya, sehingga akhir 2018, Pahang masih lagi dalam proses rundingan bersama Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan penstrukturan syarikat bekalan air di negeri itu.

“Sehingga kini, penstrukturan semula ini masih belum lagi dimuktamadkan.

Disiarkan pada: January 23, 2019 @ 9:36am
d