mutakhir

Rumah ranap dipukul ombak

Oleh Recqueal Raimi

TUJUH sekeluarga hilang tempat tinggal selepas rumah mereka di Kampung Muhibah di Kudat, roboh akibat dipukul ombak kuat, malam tadi.

Bagaimanapun semua penghuni rumah itu tidak mengalami sebarang kecederaan pada kejadian kira-kira jam 10.50 malam itu,

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kudat, Ishak Jabas berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 11.01 malam dan segera menghantar 10 anggota bersama sebuah jentera ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati keadaan rumah jenis tidak kekal itu condong dan pagi ini ia roboh sepenuhnya selepas air laut surut.

“Difahamkan ketika kejadian, air laut pasang manakala angin bertiup kencang menyebabkan laut bergelora sebelum ombak menghempas rumah terbabit,” katanya kepada NSTP.

Ishak berkata, bomba dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menyelamatkan sebahagian barang ketika kejadian dan memastikan penghuni dalam keadaan selamat.

“Pihak bomba menamatkan operasi jam 12.34 tengah malam manakala keluarga berkenaan menumpang di rumah penduduk lain buat sementara waktu,” katanya.

Disiarkan pada: January 23, 2019 @ 11:36am
d