mutakhir

PPM rampas mercun RM3,000

Oleh Hamzah Osman

PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Langkawi berjaya merampas pelbagai jenis mercun bernilai lebih RM3,000 di pondok di Sungai Kilim, Langkawi, awal pagi hari ini.

Pegawai Pemerintah Polis Marin Langkawi, Deputi Superintendan Rohizan Mohamad Saaid berkata, serbuan pada 1.29 pagi itu dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat awam.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas pondok di tepi sungai terbabit menemui tiga bungkus plastik hitam yang mengandungi pelbagai jenis mercun.

“Mercun terbabit dipercayai ditinggalkan di pondok tidak berpenghuni dipercayai bagi dijual di Langkawi sempena Tahun Baharu Cina.

“Semua mercun itu kemudian dibawa balik ke PPM Wilayah Satu Langkawi untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di Langkawi, hari ini.

Rohizan berkata, serbuan itu dilakukan menerusi Ops Landai Bilangan 10/2019 dan siasatan dijalankan mengikut Akta Bahan Letupan 1957.

“PPM akan terus menjalankan pemantauan di semua jeti persendirian atau laluan tidak sah bagi mengekang kegiatan penyeludupan mercun,” katanya.

Disiarkan pada: January 23, 2019 @ 11:54am
d