mutakhir

'Along' penipu

Oleh Shahrinnahar Latib

PENIAGA dalam talian, berputih mata akibat kerugian RM56,450 selepas dua kali ditipu seorang lelaki bernama ‘Along’ yang dikenali di laman sosial Facebook.

Kejadian bermula awal tahun lalu apabila wanita berusia 28 tahun itu berkenalan dengan suspek dengan tujuan untuk mengikuti rombongan ke China.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, pada Mac tahun lalu, mangsa dan suami berangkat ke China dengan suspek.

“Ketika di sana, mangsa berminat untuk membeli televisyen murah dan Along berjanji untuk menguruskan penghantaran dari China ke Malaysia. Mangsa kemudian membayar sebanyak RM12,400 melalui pindahan wang ke dalam akaun yang diberikan.

“Bagaimanapun, selepas pulang ke Malaysia, mangsa masih belum menerima barang yang ditempah sebelum bertindak berjumpa dengan suspek untuk membincangkan perkara berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mohd Wazir berkata, dalam perbincangan itu, suspek menawarkan kepada mangsa untuk melakukan kerjasama menjalankan perniagaan bekas produk untuk dibekalkan kepada pengasas (founder) produk.

“Mangsa yang masih belum menerima wang pembelian televisyen pun bersetuju untuk menjalankan perniagaan berkenaan selepas dijanjikan dengan keuntungan tinggi.

“Dia kemudian membuat beberapa kali pindahan wang ke dalam akaun sebuah syarikat yang diberikan suspek menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM61,450,” katanya.

Beliau berkata, pada Jun tahun lalu, mangsa memberitahu kepada suspek ingin menggunakan wang dan ‘Along’ memindahkan wang sebanyak RM5,000 kepada mangsa.

“Selepas itu, mangsa gagal menghubungi suspek dan masih belum menerima sebarang bayaran keuntungan daripada perniagaan yang dijalankan oleh ‘Along’,” katanya.

Menurut Mohd Wazir, selepas menyedari dirinya ditipu, mangsa kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan, semalam.

Katanya, polis sudah mengambil keterangan mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Disiarkan pada: January 23, 2019 @ 12:09pm
d