mutakhir

Terharu terima katil

Oleh Amran Yahya

“DI dalam keadaan diri yang terlantar sekarang, katil khas ini merupakan sumbangan paling bermakna buat saya,” kata warga emas, Mohd Arsad Abd Razak, 74.

Dia yang juga bekas imam di FELDA Kepis, Bahau, Kuala Pilah sejak 1982 hingga 2004, lumpuh separuh badan selepas terjatuh ketika sedang menoreh getah di ladangnya.

Menceritakan kembali kejadian itu, Mohd Arsad berkata, tragedi hitam itu berlaku Julai tahun lalu.

“Menoreh adalah rutin harian saya sebagai peneroka FELDA, namun ketika sedang menoreh getah tiba-tiba saya tergelincir dan terjatuh.

“Saya masih boleh bangun dan berjalan seperti biasa untuk meneruskan kerja selepas itu, namun kesannya dirasai selepas dua bulan apabila tahap kesihatan saya semakin buruk sebelum saya lumpuh separuh badan,” katanya.

Dia berkata, demikian ketika ditemui di rumahnya pada program Ziarah Kasih anjuran Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Senaling serta Biro Kebajikan DUN Senaling, hari ini.

Hadir sama Penyelaras DUN Senaling, Rais Basiron dan Ketua Peneroka FELDA Kepis, Abdullah Baharom.

Mohd Arsad yang kini tinggal bersama isterinya, Miskiah Abd Rahman, 64, melahirkan rasa terharu dengan sumbangan yang dihulurkan kepadanya.

“Saya bersyukur kerana katil khas ini memberi keselesaan kepada saya. Sebelum ini, isteri terpaksa mengangkat badan saya untuk duduk tetapi dengan katil khas ini semuanya menjadi lebih mudah,” katanya.

Sementara itu, Rais ketika ditemui berkata, terlalu besar jasa yang diberikan Mohd Arsad ketika menjadi imam selama 22 tahun.

“Ketika menjawat jawatan imam, sudah pasti seluruh masyarakat FELDA Kepis memerlukan khidmat beliau sama ada menjadi imam ketika solat, kematian, nikah dan kahwin, kenduri kendara dan lain-lain urusan.

“Sumbangan katil khas ini tidak seberapa berbanding jasa dan pengorbanan yang beliau curahkan sepanjang menjadi imam dahulu,” katanya.

Tambah Rais lagi, pihaknya akan sentiasa menyantuni masyarakat di kawasan DUN Senaling yang memerlukan bantuan mengikut peruntukan yang ada.

Pada majlis itu, Rais turut menyampaikan empat buah kerusi roda serta barang makanan dan lampin pakai buang kepada penerima yang memerlukan.

Disiarkan pada: January 23, 2019 @ 12:38pm
d