mutakhir

Pemimpin AMANAH dominasi NAFAS

Oleh Ahmad Suhael Adnan

TIMBALAN Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi diumumkan sebagai Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang baharu, berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu itu diumumkan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub selepas tempoh penggantungan perlembagaan NAFAS tamat pada 15 Januari lalu.

Turut diumumkan adalah lima AJP NAFAS lantikan menteri, dengan tiga daripadanya adalah daripada AMANAH dan seorang daripada PKR.

Mereka ialah Pengerusi AMANAH Perlis, Wan Kharizal Wan Khazim; ADUN Apam Putra, Mohd Hisyamuddin Ghazali; ADUN Mahkota yang juga Ketua AMANAH Simpang Renggam, Muhamad Said Jonit; Ahli Dewan Negara yang juga Ketua Cabang PKR Shah Alam, Dr Yaakob Sapari dan Normah Yusof.

Salahuddin turut mengumumkan lima lagi AJP yang juga calon simpanan daripada pemilihan AJP NAFAS 2016, iaitu Pemangku Ketua UMNO Jeli, Datuk Abdul Aziz Derashid; Bekas Ketua UMNO Selayang, Datuk Ahmad Bhari Abd Rahman; Datuk Tengku Aziz Tengku Jaafar; Abdul Kalam Hassan dan Ishak Taib.

Katanya, pelantikan pengurusan baharu itu diharap dapat memastikan NAFAS kembali kepada fungsi asal iaitu memajukan ekonomi, sosial dan kebajikan ahlinya, selain melahirkan lebih ramai pemimpin berintegriti.

Pada sidang media, ketika ditanya mengapa pengurusan baharu NAFAS dibarisi individu politik, Salahuddin berkata, garis panduan diputuskan Kabinet sebelum ini membenarkan lantikan politik dalam agensi kementerian dan hanya melarangnya bagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Namun, saya tetap cermat dan mengambil masa meneliti mereka yang berkelayakan, berpengalaman dan memiliki rekod pencapaian yang baik sebelum ini untuk lantikan ini.

“Saya tidak buat lantikan ini semata-mata kamu ahli AMANAH, PKR atau Pakatan Harapan (PH), dan jika ahli politik yang dilantik ini ada isu integriti, saya dan kementerian tidak akan berkompromi,” katanya.

Ditanya mengapa kebanyakan lantikan politik dalam NAFAS daripada AMANAH, Salahuddin mengakui tidak mempunyai masa yang cukup untuk mempertimbangkan individu daripada parti lain.

“Kalau kita nak ambil orang luar, kita ambil masa untuk teliti profil dan nak baca rekod pencapaian yang lain, oleh itu kita pilih kepakaran yang ada pada kita sebagai pemberat kepada lantikan ini,” katanya.

Pada 1 Jun tahun lalu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menggantung operasi NAFAS susulan masalah serius tadbir urus terutama aspek kompetensi, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam barisan kepimpinan.

Disiarkan pada: January 23, 2019 @ 3:43pm
d