mutakhir

DBKL robohkan bengkel haram

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

TINDAKAN pengusaha bengkel kereta membina premis secara haram di Jalan Gombak, Batu 4 1/2, Kuala Lumpur, mengundang padah apabila struktur yang dibina dirobohkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), semalam.

Dalam operasi roboh bermula 10 pagi hingga 12 tengah hari itu, tiga hingga empat blok premis yang dijadikan sebagai pejabat serta bengkel membaiki kereta berkenaan dirobohkan oleh sepasukan anggota penguat kuasa DBKL.

Pengarah Jabatan Penguatkuasa DBKL Azman Mahmood berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam berhubung aktiviti pengusaha bengkel berkenaan yang beroperasi secara haram sejak beberapa tahun lalu.

“Kawasan itu adalah zon penempatan dan pemilik tanah mahupun penyewa dilarang membina premis bagi aktiviti perindustrian mahupun komersial membabitkan perindustrian termasuk perusahaan bengkel.

“Berdasarkan aduan diterima, kami merobohkan struktur premis terbabit yang sudah dikosongkan dengan kerjasama pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi memotong bekalan elektrik yang masih berfungsi di premis berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azman berkata, pihaknya turut merobohkan 11 kilang teres, satu kilang minyak, satu gudang jentera dan tujuh struktur kediaman ditinggalkan warga asing yang dibina tanpa kelulusan bagi tempoh Januari hingga Disember tahun lalu di kawasan berkenaan.

“Proses merobohkan semua premis berkenaan dilakukan secara berperingkat bagi membolehkan pemilik premis sementara berkenaan pindah selepas notis dikeluarkan kepada mereka serta pemilik tanah.

“Ada di antara pengusaha berkenaan memberi alasan membayar sewa bulanan kepada pemilik tanah, namun mereka tidak mengetahui bahawa kawasan itu tidak dibenarkan untuk membina premis bagi tujuan perusahaan perindustrian.

“Malah, kawasan itu juga dijadikan sebagai penempatan setinggan oleh warga asing yang membina rumah menggunakan sisa kayu atau zink sebelum mereka bertindak meninggalkan kediaman itu selepas notis dikeluarkan pihak DBKL,” katanya.

Disiarkan pada: January 23, 2019 @ 4:08pm
d