mutakhir

92 ahli sindiket judi online ditahan

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

SERAMAI 92 warga China termasuk tujuh wanita ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan judi atas talian menggunakan aplikasi WeChat di Plaza Sun (Sun Complex), Bukit Bintang, Kuala Lumpur, kelmarin.

Serbuan dijalankan jam 1.30 pagi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, siasatan mendapati kegiatan judi atas talian itu sudah aktif sejak dua bulan lalu.

Katanya, mereka berusia 17 hingga 45 tahun menggunakan sebuah premis yang dijadikan sebagai tempat tinggal dan pusat panggilan mencari ‘mangsa’ terdiri daripada warga China.

“Sindiket ini mensasarkan warga China dan tidak mustahil didalangi rakyat tempatan.

“Hasil pemeriksaan di premis berkenaan, pihak polis menemui 212 set komputer, komputer riba (20), tablet (1), telefon bimbit (93), router (9) dan modem WiFi (7) dengan nilai rampasan dianggarkan RM430,000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di IPK Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, kesemua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 4(1) (C) Akta Pertaruhan 1953.

Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM200,000 serta boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun.

Orang ramai diminta menyalurkan maklumat dengan menghubungi Bilik Gerakan Khas 24 jam Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Kuala Lumpur di talian 03-21460670 dan Bahagian D7 (03-21460649).

Disiarkan pada: January 23, 2019 @ 7:02pm
d