mutakhir

Maut rempuh kenderaan rosak

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

LELAKI maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar bucu kanan sebuah pacuan empat roda rosak yang berhenti di lorong kiri di Lebuhraya Pantai Baru (NPE), Kuala Lumpur menghala ke Petaling Jaya, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, Salehudin Saleh, 33, yang bekerja sebagai pemandu kren disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kemalangan itu berlaku apabila pacuan empat roda Mitsubishi dipandu lelaki berusia 27 tahun mengalami kerosakan dan diparkir rapat di lorong kiri untuk bantuan.

Menurutnya, beberapa minit kemudian, motosikal Honda Wave ditunggangi mangsa yang bergerak di lorong kiri terus melanggar bucu kanan kenderaan terbabit.

“Ada seorang lelaki berusia 53 tahun yang mengawal kenderaan di belakang kenderaan pacuan empat roda itu dengan melambai-lambai tangan bagi memberi amaran kenderaan rosak, namun mangsa gagal mengelak.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Disiarkan pada: January 23, 2019 @ 8:41pm
d