mutakhir

10 jam 'gempur' dua penempatan atas air

Oleh Abdul Rahemang Taiming

SERAMAI 47 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi bersepadu di penempatan atas air di Kampung Kurnia Jaya dan Kampung Titingan, dekat Tawau, semalam.

Dalam operasi bermula 4 pagi itu, polis turut menahan empat suspek kes pecah rumah, dua suspek kes curi, lima suspek membabitkan kes dadah.

Ketua Polis Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata, kedua-dua perkampungan atas air itu adalah kawasan ‘hotspot’ bagi aktiviti pengedaran dan penagih dadah, PATI dan jenayah lain.

“Kesemua yang ditahan atas kesalahan imigresen itu membabitkan 44 lelaki dan tiga wanita berumur 17 hingga 54 tahun dari Indonesia dan Filipina kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Secara keseluruhannya lebih 200 rumah membabitkan 273 penghuni di kedua-dua kampung berkenaan diperiksa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Fadil berkata, operasi hampir 10 jam itu bertujuan membendung jenayah, selain langkah awal dalam proses pemutihan kawasan penempatan atas air itu selaras hasrat menjadikan dua kawasan terbabit sebagai ‘Kampung Angkat IPD Tawau.’

Katanya, operasi secara agresif itu akan dipergiat sebagai langkah pencegahan jenayah, selain mengenalpasti penempatan setinggan atau rumah kongsi yang didirikan secara haram atau tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Operasi Bersepadu itu disertai 161 anggota dan pegawai daripada Jabatan Imigresen, Unit Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Sukarelawan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM).

Disiarkan pada: January 24, 2019 @ 10:18am
d