mutakhir

Rindu panggilan mama

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Ungkapan mama dan keletah manja si anak menjadi pengubat rindu dan kenangan paling terindah dalam hidup Yenny Betrik, 28.

Sekelip mata keriangan dan keceriaan anak bongsu wanita itu, Nur Hidayah Masruri, 3, diragut sebaik disahkan menghidap tibi meningitis ketika usianya setahun empat bulan.

Sejak itu, anak kecil berkenaan cuma mampu terlantar dan kerap mengalami kekejangan hampir enam kali sehari, selain bergantung sepenuhnya kepada susu khas melalui tiub dengan bantuan mesin.

Bagi Yenny, keletah dan suara manja anak kecil yang terlantar sejak lebih setahun lalu itu tetap dirindui sepanjang hayatnya.

“Saya rindu tengok dia jalan dan panggil saya mama. Sekarang saya panggil pun dia tak respons apa-apa lagi, cuma menangis saja.

“Tiada sebarang harapan diberikan kerana peluangnya untuk sembuh 100 peratus macam dulu memang mustahil,” katanya.

Menurutnya, pada mulanya dia sendiri tidak boleh menerima kenyataan anak bongsu daripada tiga beradik itu menghidap penyakit berbahaya itu.

“Sepanjang lapan tahun memeluk Islam, ini ujian paling berat saya hadapi. Mula-mula dulu memang saya kerap menangis.

“Namun, kini saya reda dan serahkan segala-galanya kepada ketentuan Allah, mungkin ada hikmahnya yang belum kita nampak sekarang.

“Sebagai ibu, saya tidak putus berdoa semoga usianya dipanjangkan agar saya dapat terus membesarkannya walaupun dalam keadaannya kekal macam ini sampai bila-bila,” katanya.

Katanya, kos perbelanjaan susu khas mencecah RM700 setiap bulan bagi menampung keperluan nutrisi anak bongsunya itu.

Orang ramai yang mahu meringankan beban keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam 14210020302517 atas nama Masruri Hadir.

Disiarkan pada: January 24, 2019 @ 11:28am
d