mutakhir

Geng Didi tumbang

Oleh Norsyazwani Nasri

POLIS yakin dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya sembilan kes pecah rumah dan tiga kes curi komponen kereta membabitkan nilai kerugian RM60,000 dengan tertumpasnya ‘Geng Didi’.

Timbalan Ketua Polis Daerah Limbang Deputi Superintendan Tega Bilong berkata, kumpulan itu yang dianggotai lelaki berusia antara 18 hingga 34 tahun aktif melakukan kegiatan pecah rumah dan mencuri komponen kereta berjaya ditahan dalam satu operasi khas bermula Oktober tahun lalu.

“Suspek yang kesemuanya warga tempatan ditahan dalam beberapa siri operasi yang dijalankan di sini sejak hujung tahun lalu hingga awal tahun ini,” katanya pada sidang media, semalam.

Katanya, pegawai dan anggotanya menjejaki kumpulan itu sejak Oktober tahun lalu.

“Modus operandi mereka menyasarkan kediaman yang kosong ketika pemiliknya bercuti sempena cuti sekolah, cuti perayaan dan hujung minggu untuk melakukan jenayah,” katanya.

Beliau menjelaskan kejayaan itu hasil maklumat awam dan operasi risikan yang dijalankan sebelum ini.

“Seorang lagi anggota kumpulan ini masih bebas sedang diburu polis manakala enam suspek berjaya ditahan.

“Hasil pemeriksaan air kencing terhadap mereka lima daripada ahli kumpulan itu juga positif dadah,” katanya.

Katanya, tiga daripada ahli kumpulan mempunyai rekod kesalahan lampau berhubung kes dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 397(A) Kanun Keseksaan dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: January 24, 2019 @ 11:50am
d