mutakhir

Busuk, loya sungguh! [METROTV]

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

MELOYAKAN! Itu kesimpulan dapat dikatakan sebaik memasuki bahagian dapur sebuah restoran mamak di Kangar, yang dikesan gagal menjaga tahap kebersihan seperti ditetapkan.

Pemeriksaan dilakukan mendapati perangkap minyak restoran itu dipenuhi kerak dan saluran tempat basuhan pinggan tidak diselenggara dengan betul hingga menyebabkan restoran terbabit dikompaun serta diberi amaran.

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Kanan Kangar, Zaferidin Hashim, berkata berikutan tahap kebersihan di restoran itu tidak memuaskan, bau kurang menyenangkan turut menusuk hidung pengunjung ketika mereka melalui laluan menuju ke tandas premis.

“Alasan diberikan oleh penjaga restoran berkenaan ialah mereka kekurangan pekerja untuk melakukan proses penyelenggaraan premis.

“Selain itu, dia memaklumkan kepada pegawai kami bahawa mereka tidak sempat melakukan proses pembersihan kerana premis beroperasi secara 24 jam tanpa henti,” katanya ketika ditemui selepas operasi berkenaan dijalankan.

Beliau berkata, operasi khas bersama Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Perlis dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) menyasarkan restoran mamak dan restoran beroperasi secara 24 jam.

Katanya, pihaknya tidak berkompromi dengan perkara berkenaan kerana kebersihan premis adalah satu keutamaan walaupun apapun alasan diberikan.

“Kami sudah mengeluarkan satu notis kompaun memperuntukkan denda sebanyak RM1,000 kepada pemilik restoran itu dan mengarahkannya melakukan proses pembersihan dalam masa terdekat.

“Kami akan melakukan pemeriksaan secara berkala ke atas restoran berkenaan bagi memastikan mereka tidak mengambil ringan terhadap perkara ini,” katanya.

Pada operasi khas itu, sebanyak dua restoran mamak yang menjadi tumpuan pelanggan di negeri ini diperiksa tahap kebersihannya selain menumpukan harga makanan berlauk semasa dan kebersihan tempat penyediaan makanan.

Disiarkan pada: January 24, 2019 @ 3:20pm
d