mutakhir

Bayaran BSH 28 Januari ini

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

PEMBAYARAN fasa pertama Bantuan Sara Hidup (BSH) pada 28 Januari ini dan akan mengikut pangkalan data lama serta kaedah lama.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan terpaksa menggunakan pangkalan data lama yang kemungkinan besar mengandungi nama penerima yang tidak layak, bagi membolehkan bayaran dibuat sebelum Februari.

“Proses pemutihan yang akan mengeluarkan nama penerima tidak layak kerana mereka bukannya daripada golongan B40 memerlukan masa panjang untuk dilaksanakan.

“Setelah pangkalan data dikemaskini, baki bayaran BSH yang akan disalurkan pada fasa kedua dan ketiga akan menggunakan kaedah baharu seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2019,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya hari ini.

Guan Eng berkata, proses mengemas kini data perlu dilaksanakan untuk pembayaran BSH fasa kedua dan ketiga selaras dengan penambahbaikan program BSH secara lebih bersasar dan bergantung kepada saiz isi rumah.

“Kriteria pembayaran dan kaedah baharu akan diumumkan dalam jangka masa yang terdekat,” katanya.

Selain itu katanya, atas keprihatinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, pembayaran BSH 2019 dijangka memanfaatkan sehingga 4.1 Juta isi rumah melalui pembayaran fasa pertama sebanyak RM300 bagi setiap isi rumah.

“Ini akan membabitkan peruntukan berjumlah RM1.2 bilion. Bayaran akan dimasukkan terus ke dalam akaun bank mereka,” katanya.

Guan Eng berkata, seperti yang diumumkan dalam ucapan Belanjawan 2019, kerajaan akan meneruskan program BSH untuk menjamin kesejahteraan ekonomi rakyat dengan membantu golongan B40 meringankan kos sara hidup mereka.

Disiarkan pada: January 24, 2019 @ 4:58pm
d