mutakhir

Restoran ada najis lipas, jentik-jentik

Oleh Faliq Lajim

SEBUAH restoran kegemaran kanak-kanak di Seksyen 13, Shah Alam diarahkan tutup selama dua minggu bermula hari ini, selepas didapati beroperasi dalam keadaan kotor.

Arahan itu dikeluarkan selepas operasi bersepadu pemeriksaan kebersihan premis makanan di daerah ini yang dijalankan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Jabatan Imigresen Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Timbalan Datuk Bandar MBSA, Mohd Rashidi Ruslan berkata, penutup itu dibuat selepas pihaknya mendapati terdapat najis lipas di dalam stor makanan serta tempat pembiakan jentik-jentik di dalam premis itu.

“Hari ini kita memeriksa sembilan premis makanan di sekitar Seksyen 13. Ia bagi memastikan restoran di bandar raya ini sentiasa mencapai tahap kebersihan yang ditetapkan.

“Sebanyak empat kompaun dan 12 notis amaran dikeluarkan, selain arahan penutupan restoran.

“Kompaun dikeluarkan kerana kesalahan membuang sisa makan dalam longkang, gagal mengemukakan bukti suntikan TY2 (anti-typhoid) dan gagal mematuhi peraturan kebersihan yang ditetapkan,” katanya ditemui pemberita selepas operasi berkenaan, hari ini.

Turut menyertai operasi bersepadu itu ialah Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Selangor, Azman Adam dan Timbalan Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Selangor, Mohd Rawi Che Mat.

Mohd Rashidi berkata, sejak 1 Januari 2019 sehingga hari ini, sebanyak 77 premis makanan diperiksa dan empat daripadanya sudah diarahkan tutup.

“Pihak MBSA berharap setiap premis makanan menjaga kebersihan serta mengamalkan pengendalian makanan yang betul. Pemilik premis juga perlu memastikan pembantu kedai mendapat suntikan TY2.

“Kami akan terus membuat pemeriksaan di premis makanan secara berkala bagi memastikan peniaga ini sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Azman berkata, pihaknya mengambil tindakan terhadap tiga premis yang didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan 3(1) Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit 1993, berikutan gagal mempamerkan tanda harga makanan dan minuman.

“Pihak kami turut mengambil satu tindakan ke atas satu premis yang menggunakan alat timbang yang tidak ditentusahkan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972,” katanya.

Disiarkan pada: January 24, 2019 @ 5:31pm
d