mutakhir

Kerajaan Perak sembah tahniah

Oleh Muhammad Apendy Issahak

KERAJAAN Perak menyampaikan sembah tahniah kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’atuddin Al-Mustafa Billah Shah di atas pelantikan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, bagi tempoh lima tahun bermula 31 Januari ini.

Kerajaan negeri turut menjunjung kasih merafakkan setinggi-tinggi tahniah kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di atas perisytiharan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.

Sembah tahniah itu disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam satu kenyataan di Ipoh, hari ini.

“Kerajaan Perak dengan ini mendoakan agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Abdullah Ri’atuddin Al-Mustafa Billah Shah terus dikurniakan keafiatan dan hidayah dalam menjalankan tugas sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16. Daulat Tuanku,” katanya.

Beliau berkata, keputusan yang diambil Majlis Raja-Raja hari ini sekali gus meneruskan kesinambungan Sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia.

Disiarkan pada: January 24, 2019 @ 7:43pm
d