mutakhir

'Fauzi saksi penting...'

Oleh Suraya Roslan dan Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Negara (FINAS) Datuk Fauzi Ayob tidak terbabit sama sekali dalam sebarang penyelewengan dana membabitkan agensi itu.

Sumber berkata, Fauzi bukan suspek siasatan bagi kes itu sebaliknya beliau saksi penting yang akan membantu pendakwaan SPRM membabitkan beberapa penyelewengan wang di FINAS.

“Fauzi bukanlah suspek. Dia adalah saksi penting,” katanya, semalam.

Diminta mengulas mengenai siasatan penyelewengan dana bernilai RM25 juta pada agensi berkenaan, sumber berkata, pihaknya hampir menyiapkan siasatan berhubung perkara itu.

“Siasatan kini berada di peringkat akhir dan dalam kajian Timbalan Pendakwa Raya.

“Yang terbabit adalah seorang pegawai di FINAS yang rapat dengan seorang Menteri kerajaan terdahulu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan namun enggan mengulas lanjut.

Harian Metro menerusi laporan eksklusif bersiri sejak 15 September tahun lalu mendedahkan ketirisan dana FINAS berjumlah RM16 juta sejak 2013 hingga 2015.

Dana penerbitan berkenaan diberikan kepada beberapa syarikat produksi untuk menerbitkan tujuh filem dan satu animasi namun hingga kini karya berkenaan gagal disiapkan.

Disiarkan pada: January 25, 2019 @ 9:40am
d