mutakhir

Cabut lari tinggalkan lauk sardin

Oleh Ruwaida Md Zain

PEKERJA stor di sebuah rumah kedai dua tingkat ‘tinggal’ di Bandar Armada Putra, Pelabuhan Klang, Klang yang disyaki menyimpan tong gas petroleum cecair (LPG) tidak sempat menjamah makanan apabila dipercayai melarikan diri sebaik menyedari premis itu diserbu, malam semalam.

Ia berikutan anggota penguat kuasa yang menjalankan pemeriksaan terhadap premis berkenaan menemui lauk sardin masih berada di dalam kuali dan belum sempat dimakan di dalam peti sejuk di tingkat atas rumah kedai terbabit.

Difahamkan, ia dipercayai disimpan pekerja terbabit selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Timbalan Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Basaruddin Mohiyuddin berkata, tiada penghuni di dalam premis sewaktu serbuan dilakukan pada 11.30 malam di stor yang dijadikan tempat menyimpan LPG itu.

“Pasukan serbuan terpaksa memecahkan kunci pintu rumah kedai itu untuk memasukinya selepas 15 minit diketuk, namun tiada jawapan.

“Premis perniagaan dua tingkat yang ditinggalkan itu dijadikan stor simpanan LPG pelbagai saiz dan jenama, disyaki tiada lesen.

“Tingkat atas dijadikan tempat tinggal pekerja berdasarkan kepada peralatan rumah yang ditemui dan kami menganggarkan kira-kira lima pekerja disyaki warga Myanmar mendiaminya berdasarkan kepada beberapa dokumen yang ditemui,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Basaruddin yang mengetuai operasi serbuan itu berkata, pihaknya merampas 300 tong LPG dengan anggaran keseluruhan nilai rampasan RM37,425.80.

“Kami menyita sebanyak 300 tong LPG pelbagai saiz dan pelbagai jenama untuk tindakan serta siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Dalam pada itu, Basaruddin berkata, KPDNHEP Selangor akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan pemilik dan sindiket menjual LPG secara haram yang aktif beroperasi di sekitar negeri terbabit.

“KPDNHEP juga akan mengesan pembekal yang membekalkan barangan kawalan kepada pihak atau individu yang tidak berlesen.

“Jika disabitkan kesalahan boleh denda sehingga RM1 juta dan penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Disiarkan pada: January 25, 2019 @ 11:50am
d