mutakhir

ATM kaji penggunaan 5G

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) kini dalam proses mengkaji serta mengenal pasti sebarang ancaman membabitkan penggunaan teknologi generasi kelima (5G) dipelopori China.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkata, teknologi berkenaan pastinya memudahkan kehidupan seharian, namun tidak menafikan kemungkinan ia juga mudah diserang jika tiada tindakan pencegahan.

Katanya, atas faktor itu, ATM kini sedang meneliti kelompongan ruang dalam teknologi berkenaan yang berkemungkinan boleh digunakan pihak tertentu bagi menceroboh serta menyerang sistem siber negara.

“Proses bagi mengkaji serta mengenal pasti kewujudan ancaman dalam ruang teknologi itu sedang dijalankan ATM bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

“Malah, kertas kajian itu akan dilengkapkan dalam masa terdekat sebelum dibentangkan kepada kerajaan,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran Persatuan Alumni Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di Wisma Perwira hari ini.

Hadir sama Panglima Tentera Udara (PTU) Jeneral Tan Sri Affandi Buang dan Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Abdul Halim Jalal.

Zulkifli berkata, kajian itu dibuat selepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan bahawa semua teknologi yang masuk ke Malaysia perlu dilihat terlebih dahulu.

“Tidak semua teknologi itu bagus dan kerana itu kita tidak mahu apa yang dikatakan sebagai destructive (merosakkan) teknologi berlaku pada kita.

“Jadi, Kajian itu juga nanti turut merangkumi cadangan serta langkah perlu diambil berdasarkan jenis ancaman yang mungkin boleh dicetuskan oleh teknologi itu,” katanya.

Selasa lalu, Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin menyatakan bahawa Malaysia perlu berhati-hati dengan teknologi generasi kelima (5G) dipelopori China yang turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan negara Barat ketika ini.

Katanya, wujud alasan kukuh untuk ‘takut’ dengan teknologi 5G itu, yang dikhuatiri menjadi instrumen kegiatan pengintipan siber oleh China.

Malah, pada Sabtu lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dilaporkan berkata kerajaan akan mengkaji sama ada Huawei perlu dihalang daripada membina infrastruktur 5G di Malaysia, susulan dakwaan kegiatan pengintipan siber dilakukan syarikat telekomunikasi gergasi China itu.

Sebelum ini juga, Jerman dilaporkan mempertimbangkan untuk memperkenalkan peraturan lebih ketat bagi mengekang teknologi 5G Huawei, susulan kebimbangan Barat mengenai kemungkinan China menggunakan gajet Huawei untuk tujuan pengintipan.

Australia dan New Zealand turut dilaporkan mengharamkan Huawei di negara masing-masing, susulan gesaan AS supaya komuniti antarabangsa tidak bekerjasama dengan firma China itu.

Disiarkan pada: January 25, 2019 @ 12:04pm
d