mutakhir

Minta RM600,000

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SUSPEK termasuk adik seorang ahli politik bergelar Datuk yang disyaki membunuh seorang ahli perniagaan pada 3 Januari lalu didakwa menghubungi isteri mangsa dan meminta wang tebusan berjumlah RM600,000.

Sumber berkata, mangsa berusia 30-an sebelum itu dilarikan empat suspek dari rumahnya di Bandar Sri Putra, Kajang pada 2 Januari lalu, susulan pertikaian membabitkan isu pelaburan mata wang digital bitcoin.

“Siasatan polis mendapati mangsa dilarikan menggunakan dua kereta milik mangsa sendiri. Beberapa jam kemudian suspek menghubungi isteri mangsa dan meminta wang tebusan RM60,000.

“Namun suspek sekali lagi menghubungi pengadu pada jam 2.45 pagi keesokan harinya dan meminta wang sebanyak RM600,000. Difahamkan, isteri mangsa sempat mendengar suara suaminya menjerit sebelum panggilan diputuskan,” katanya.

Menurutnya, polis bagaimanapun menerima maklumat berhubung mayat mangsa ditinggalkan di lobi bahagian kecemasan sebuah hotel swasta di Jalan Ampang pada 3 Januari lalu.

“Pemeriksaan forensik mendapati mangsa luka pada tubuh dan kepala dipercayai akibat dipukul. Susulan kejadian itu, polis menyiasat pembabitan sebuah kumpulan disertai golongan belia tempatan yang disyaki ada kaitan dengan kes pembunuhan itu.

“Setakat ini 10 individu sudah ditahan termasuk seorang lelaki yang juga adik kepada seorang ahli politik bergelar Datuk. Bagaimanapun, seorang lagi adik kepada ahli politik itu yang disyaki turut terbabit dalam jenayah itu menghilangkan diri,” katanya.

Menurutnya, semua suspek yang ditahan akan didakwa di Mahkamah Majistret Kajang hari ini atas pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Polis kini masih meneruskan usaha memburu beberapa lagi individu yang disyaki ada kaitan dengan kes itu,” katanya.

Sementara itu, usaha wartawan untuk menemui isteri mangsa di kediamannya, semalam gagal apabila wanita itu didapati tidak berada di rumah berkenaan.

Disiarkan pada: January 25, 2019 @ 12:12pm
d