mutakhir

Tak mengaku miliki rokok seludup [METROTV]

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

SEORANG penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban, hari ini atas dakwaan memiliki 3,025 paket rokok seludup bernilai RM6,825 di Senawang pada 18 Januari lalu.

Ruzlan Hassan, 46 membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mahyun Yusof sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Ruslan didakwa memiliki 40,680 batang rokok putih dan 12,780 batang rokok kretek di sebuah premis kediaman bernombor 121, Taman Jasmin Indah 7, Senawang, jam 7 malam, 18 Januari lalu.

Semua barang terlarang bernilai RM6,825 itu dihalang pengimportan di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967, yang memperuntukkan denda sehingga 20 kali ganda nilai rampasan atau RM500,000, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor, Mohd Nafizi Ramli memohon mahkamah mengenakan jaminan RM15,000 selain tertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di Bahagian Penguatkuasa JKDM Daerah Seremban.

Ruzlan bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan jaminan rendah kerana perlu menanggung tiga anak bersekolah dan seorang ibu.

Mahyun menetapkan jaminan RM7,500 dan sebutan semula kes pada 22 Februari ini bagi penyerahan dokumen.

Disiarkan pada: January 25, 2019 @ 12:59pm
d