mutakhir

Kilang bebola ikan 'mengelirukan' diperiksa

Oleh Zuliaty Zulkiffli

BAHAGIAN Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah memeriksa premis pengeluar bebola ikan di Alor Setar, semalam yang disyaki meragukan.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Chin Ching Chung berkata, pemeriksaan bermula 1 tengah hari itu susulan isu bebola ikan disyaki mengelirukan apabila ditular semula di laman sosial kerana menggunakan dua label nama bagi satu produk bebola ikan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati syarikat pengeluar bebola ikan itu kini hanya menggunakan satu jenama sahaja untuk bungkusan bebola ikan seberat satu kilogram (kg), bukan seperti ditularkan.

“Hasil siasatan mendapati, syarikat ini sudah menghentikan penggunaan satu lagi jenis bungkusan dilabel dengan nama lain sejak ia dikenakan tindakan oleh KPDNHEP pada Februari 2017.

“Namun, hasil pemeriksaan mendapati, bungkusan baru produk ini tiada logo halal atau apa-apa perbahasan atau petunjuk yang boleh memberi makna bahawa produk ini adalah halal dan syarikat ini tidak pernah mendapat persijilan halal,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Chin berkata, namun setakat ini tiada tindakan diambil berkaitan isu halal.

Beliau berkata, tindakan akan diambil mengikut Perintah Kawalan Harga (Pelabelan Oleh Pekilang, Pengimport, Pengeluar dan Penjual Borong) 1980 disebabkan bungkusan baru dipercayai didak dilabelkan dengan nama syarikat mengeluarkan bebola ikan berkenaan.

“Selain itu, kami merampas 30 unit bungkusan bebola ikan yang setiap satu seberat 1kg untuk menjalankan siasatan lanjut.

“Jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM240 dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.

Pada 5 Februari 2017, KPDNHEP Kedah merampas 204 paket bebola ikan kerana gagal mengikut spesifikasi pelabelan pembungkusan di sebuah kilang di Jalan Gangsa, Mergong, Alor Setar.

Tindakan itu diambil selepas produk terbabit menjadi tular di media sosial apabila syarikat terbabit menggunakan dua label nama bagi satu produk bebola ikan sehingga boleh mengelirukan pengguna beragama Islam.

Produk itu dilabelkan dengan nama Melayu dipercayai untuk pasaran di pasar raya atau kedai pemilik beragama Islam, manakala satu lagi label tertulis nama syarikat itu dan kedua-duanya menggunakan alamat sama.

Disiarkan pada: January 25, 2019 @ 5:01pm
d