mutakhir

Keracunan makanan: Kantin SK Manjoi ditutup sementara [METROTV]

Oleh Muhammad Apendy Issahak

KANTIN Sekolah Kebangsaan (SK) Manjoi, Ipoh ditutup bermula jam 3 petang semalam susulan kes 17 murid mengalami keracunan makanan selepas dipercayai makan di kantin berkenaan, pagi semalam.

Notis perintah penutupan sementara premis yang menyediakan makanan untuk murid SK Manjoi 1 dan SK Manjoi 2 yang terletak bersebelahan itu dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta selepas melakukan pemeriksaan di kantin berkenaan.

Pengusaha kantin berkenaan bagaimanapun dijangka dibenarkan beroperasi semula seperti biasa pada Isnin depan.

Bagi memenuhi keperluan murid pada hari ini susulan penutupan itu, pengusaha diarah menyediakan makanan yang dibawa dari luar untuk dijual kepada murid ketika waktu rehat.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, berdasarkan maklumat awal mendapati kes keracunan makanan yang membabitkan 17 murid SK Manjoi 2 itu tidak begitu serius dan mereka tidak ditahan di wad.

“Namun, kita masih memantau keadaan atau tahap kesihatan murid terbabit, dan saya bagi pihak kerajaan negeri akan mengambil langkah sewajarnya bagi mengelak perkara ini berulang,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke sekolah berkenaan, hari ini.

Menurutnya, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk mengambil langkah-langkah awal menangani kes keracunan makanan yang membabitkan sekolah, kolej dan sebagainya.

“Kerajaan negeri memandang serius perkara ini kerana pada tahun lalu juga berlaku beberapa kes keracunan makanan dan ia memberi imej kurang baik kepada negeri di mata masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Hal Ehwal Murid Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinta Utara, Zaherien Rahmad berkata, susulan penutupan kantin berkenaan, ibu bapa dimaklumkan oleh pihak sekolah melalui surat pemberitahuan yang diserahkan kepada murid serta melalui kumpulan WhatsApp ibu bapa.

“Hari ini pihak kantin kena menyediakan makanan dari luar yang dibawa ke kantin, walaupun PKD membenarkan pengusaha kantin memasak, tetapi atas perbincangan pihak sekolah dan tidak mahu mengambil risiko keselamatan murid maka memilih penyediaan roti dan air mineral.

“Ibu bapa juga dimaklumkan bagi memberi mereka pilihan sama ada menyediakan bekal untuk anak-anak atau membeli makanan yang disediakan pihak kantin,” katanya.

Menurutnya, buat masa ini tiada tindakan dikenakan terhadap pengusaha kantin itu kerana pihak PPD masih menunggu laporan penuh Jabatan Kesihatan mengenai punca sebenar kes keracunan sebelum tindakan lanjut diambil.

Media semalam melaporkan seramai 17 murid SK Manjoi 2, Ipoh mengalami keracunan makanan selepas dipercayai makan di kantin sekolah itu.

Difahamkan, 10 murid perempuan dan tujuh murid lelaki Tahun Empat, Lima dan Enam mengalami gejala sakit perut, muntah dan cirit-birit selepas makan nasi goreng ketika waktu rehat di kantin sekolah jam 9.30 pagi.

Disiarkan pada: January 25, 2019 @ 5:55pm
d