mutakhir

Orang Asli, asnaf, anak yatim 'rasmi' MSUMC

Oleh Ruwaida Md Zain

ANAK yatim, golongan asnaf serta masyarakat Orang Asli menjadi kumpulan pertama mendapat rawatan kesihatan di Pusat Perubatan Management & Science University (MSUMC) yang dilancarkan di Shah Alam, hari ini.

Rawatan kesihatan diterima mereka adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) MSU dalam usaha membantu golongan kurang berkemampuan.

Ini termasuk pemeriksaan mata, pemeriksaan kesihatan, taklimat fisiologi dan diet, demonstrasi pertolongan cemas serta pemeriksaan mamogram dan pengimejan resonans magnet (MRI).

Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid berkata, aktiviti terbabit adalah usaha memperkukuhkan peranan MSUMC dalam aspek kesihatan komuniti.

“Pemeriksaan kesihatan secara komprehensif dan pemberian kaca mata membabitkan anak yatim dan Orang Asli adalah aktiviti utama dijalankan sempena majlis pelancaran ini.

“Selain itu, pemberian kaca mata secara percuma adalah sebahagian daripada inisiatif program pencegahan masalah buta dilaksanakan Jabatan Optometri dan Sains Visual, Faculty of Health and Life Sciences (FHLS).

“Mereka terdiri daripada Rumah Kasih Harmoni, Pusat Jagaan Baitul Hidayah, Rumah Siraman Kasih, Madrasah Anak Yatim dan Tahfiz Quran Hashimiah, Pertubuhan Kebajikan Rumah Anak Yatim, Asnaf As-Solihin, Home of Hope Al-Khadeem, serta komuniti Kampung Orang Asli Rasau Hilir dan Kampung Orang Asli Desa Temuan, Bukit Lanjan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran MSUMC yang terletak bersebelahan bangunan utama MSU di Shah Alam.

Hadir sama, Naib Canselor Prof Puan Sri Dr Junainah Abd Hamid; Ketua Pegawai Eksekutif MSUMC, Nasharuddin Shukor dan Pengarah Kesihatan MSUMC, Datuk Dr Lailanor Ibrahim.

Mohd Shukri berkata, dengan kemudahan lengkap serta pegawai perubatan pelbagai kepakaran, MSUMC dijangka akan menjadi mercu tanda baharu untuk bandar raya Shah Alam, Selangor.

“‘Caring, Healing, Educating’ menjadi slogan MSUMC dengan menyediakan kemudahan perubatan terkini, lengkap dan canggih selain sebagai pelengkap kepada pembabitan MSU dalam bidang perubatan khasnya dan bidang pendidikan tinggi negara amnya.

“MSUMC berperanan sebagai hospital pengajar kepada program perubatan MSU khususnya Fakulti Perubatan Antarabangsa (International Medical School) bagi kemudahan latihan klinikal penuntut perubatannya.

“Matlamat MSUMC meningkatkan kapasiti perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat setempat dan meningkatkan peluang untuk menjalankan kerja penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang perubatan,” katanya.

Beliau berkata, antara kemudahan disediakan di MSUMC adalah dewan bedah, unit penjagaan rapi (ICU), dewan bersalin, klinik pakar, klinik pergigian serta klinikal dan bukan klinikal.

Menurutnya, ia membabitkan bidang seperti perubatan dalaman, pakar sakit puan, pakar kanak-kanak, ortopedik, pakar mata, psikiatri, urologi, endoskopi, pemulihan otorhinolaryngology (ORL) dan perubatan tradisional dan komplementari (TCM).

Katanya, kira-kira 250 pesakit boleh ditempatkan pada satu-satu masa dan hari ini adalah hari menyempurnakan majlis mula operasi 24 jam sepenuhnya.

Disiarkan pada: January 25, 2019 @ 6:46pm
d