mutakhir

Masuk lepas tu tak keluar

Oleh BERNAMA

ANTARA 20 dan 30 peratus daripada 23 juta pelancong yang memasuki Malaysia tahun lalu didapati tidak meninggalkan negara ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman ketika mendedahkan perkara itu hari ini berkata, mereka yang masuk menggunakan pas lawatan sosial itu dipercayai berada atau menetap di sini walaupun tempoh lawatan sudah berakhir.

Beliau berkata, kementerian memandang serius isu itu dan tidak mahu pelancong asing menggunakan peluang lawatan sosial untuk terus menetap di negara ini pada masa depan.

“Seperti negara lain, kerajaan juga menggunakan Notis Tolak Kemasukan (NTL) di bawah Seksyen 8 Akta Imigresen 1959/63 di semua pintu masuk ke negara ini sebagai antara kaedah mengatasi isu berkenaan.

“Ini proses biasa digunakan di mana-mana negara dan kita akan terus memperkasakan pelaksanaannya agar ketidakseimbangan antara jumlah yang masuk dan keluar tidak terus berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat kaunter Jabatan Imigresen dan bilik menunggu sementara mereka yang dikenakan NTL di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Turut hadir Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Mengenai NTL, Mohd Aziz berkata, seramai 85,946 warga asing dikenakan notis itu tahun lalu atas pelbagai faktor antaranya tidak mempunyai tiket pulang, tiada hotel penginapan serta tiada wang perbelanjaan mencukupi untuk menampung perbelanjaan sepanjang berada di negara ini.

Selain faktor keselamatan katana, perkara itu antara kriteria yang perlu ditunjukkan pelancong asing bagi mengelak mereka dikategorikan sebagai NTL.

Mohd Aziz berkata, warga Indonesia adalah jumlah teramai pelancong yang dikenakan NTL dengan 43,870 orang, diikuti China dan India masing-masing 12,853 dan 8,119 orang.

Disiarkan pada: January 25, 2019 @ 8:35pm
d