mutakhir

'Dia merokok di kawasan papan tanda larangan'

Oleh Suraya Roslan

PEJABAT Kesihatan Pintu Masuk Antarabangsa Pulau Pinang menegaskan penyanyi remaja Indonesia, Tegar Septian, 17, merokok di kawasan yang mempunyai papan tanda amaran larangan merokok.

Pegawai Kesihatannya, Dr Izani Uzair Zubair berkata, Tegar disaman penguat kuasa kesihatan yang melakukan operasi kerana merokok di balai berlepas berdekatan pintu satu Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL), Pulau Pinang jam 11.35 pagi, Rabu lalu.

“Memang sudah ada papan tanda amaran larangan merokok di situ. Jadi papan tanda itu adalah amaran mengenai kawasan itu sebagai larangan merokok.

“Berikutan itu, tidak timbul isu pegawai kami perlu memberi amaran kepada penyanyi berkenaan kerana semuanya sudah jelas,” katanya kepada Harian Metro.

Dr Izani berkata, pegawainya mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan memperkenalkan diri sebagai penguat kuasa kesihatan dan menunjukkan kad kuasa.

“Malah, pegawai saya tidak mengenali remaja itu adalah penyanyi popular dari seberang dan menjalankan operasi penguatkuasaan Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PKHT) 2004.

“Setiap penumpang perlu peka mengenai perkara ini kerana kawasan lapangan terbang sebagai kawasan larangan merokok,” katanya.

Menjelaskan perkara itu, Dr Izani berkata, terdapat lokasi di LTAB Pulau Pinang dikhaskan untuk merokok dan sudah tertera papan tanda untuk rujukan perokok.

Harian Metro hari ini melaporkan Tegar didenda RM300 kerana merokok di kawasan tidak dibenarkan di LTABL.

Menerusi pengurusnya di Malaysia, penyanyi itu yang sedang menunggu masa pelepasan kesal dengan sikap penguat kuasa mengendalikan kes terbabit yang didakwa langsung tidak mempunyai sikap bertolak-ansur selain tiada amaran diberikan.

Penyanyi itu mendakwa denda berjumlah RM300 yang perlu dibayar oleh Tegar agak tinggi dalam keadaan tawaran persembahan yang berkurangan.

Berita berkaitan

'Sepatutnya beri Tegar amaran dulu...'

Disiarkan pada: January 25, 2019 @ 9:45pm
d