mutakhir

Petronas lancar filem web Tahun Baharu Cina 2019

Oleh Syalikha Sazili

SEMANGAT kekeluargaan ditonjolkan Lyann dan ibunya menerusi iklan terbaru Petronas cukup dekat di hati penonton yang sering berdepan dilema bekerja pada musim perayaan.

Filem web yang bertajuk ‘Heart’ itu memaparkan pengorbanan Lyaan yang terpaksa mengimbangi kehidupan antara kerjaya dan keluarga sehingga terpaksa meninggalkan ibunya bersendirian menyambut Tahun Baru Cina.

Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategiknya, Zahariah Abd Rahman berkata, kisah ini mengambil teladan betapa penting untuk kita mengambil sedikit masa dari kesibukan bekerja dan menghargai orang tersayang khususnya keluarga.

Katanya, dengan membawa tema ‘Kesyukuran’ atau ‘Anugerah Kita’, filem web itu turut memberi penekanan terhadap sikap menghormati kedua ibu bapa yang juga nilai penting dalam tradisi masyarakat Cina.

“Iklan yang dihasilkan ini diharapkan mampu memberi impak yang positif kepada penonton.

“Kisah Lyann seorang wanita bekerjaya yang menjaga ibu tunggalnya, memaparkan pengorbanan bagi menyempurnakan sambutan Tahun Baru Cina.

“Sungguhpun begitu, kasih sayang menjadi pengikat hubungan kekeluargaan dan di kala berjauhan perayaan itu tetap disambut secara bersederhana,” katanya selepas melancarkan filem web Tahun Baru Cina Petronas, di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Pengarah filem web, Ismail Kamarul dan pelakon utama filem webterbabit, Emily Lim Pey Chi.

Sementara itu, Ismail berkata, sepanjang tempoh 4 minit 17 saat, filem web itu dikembangkan jalan ceritanya selain turut mengangkat sikap toleransi dalam kekeluargaan.

“Senario ini berlaku dalam kehidupan seharian. Dalam pada kita mencari rezeki untuk keluarga kadang kala tugasan di pejabat memaksa seseorang untuk berkorban walaupun pada hari istimewa.

“Mesej yang cuba disampaikan dalam cerita ini adalah dalam kesibukan bekerja kita perlu sedaya upaya seimbangkan kehidupan kerana keluarga adalah segalanya.

“Sesungguhnya perayaan lebih bermakna sekiranya ia diraikan bersama keluarga,” katanya.

Selain itu, Petronas turut membuat filem web ini dalam bentuk iklan yang akan disiarkan di televisyen bermula esok hingga 19 Februari depan.

Ia juga boleh turut ditonton di laman sosial rasmi Petronas di Facebook dan Youtube.

Disiarkan pada: January 25, 2019 @ 11:38pm
d