mutakhir

Keliru siapa Razak

Oleh Murni Wan Omar

Shah Alam: “Dia kenalkan sebagai Razak tetapi ketika itu saya tidak tahu Razak Baginda atau Najib Razak,” kata bapa mendiang Altantuya Shaariibuu ketika memberi keterangan dalam kes samannya terhadap tiga tertuduh dan Kerajaan Malaysia di dalam kes bunuh anaknya di Mahkamah Tinggi di sini.

Dr Shaariibuu Setev, 69, yang memberi keterangan di dalam bahasa Mongolia berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Altantuya ketika dia bertanya kepada anaknya berhubung kunjungannya ke Malaysia pada Ogos 2006.

“Antara 7 dan 8 Ogos 2006, Altantuya menghubungi saya memaklumkan mahu pergi ke Malaysia keesokannya. Saya minta Altantuya datang bertemu saya. Saya tahu dia kerap ke Malaysia sebelum ini. Oleh itu saya bertanya sama ada dia mempunyai seseorang di Malaysia.

“Dia (Altantuya) maklumkan ada mempunyai hubungan dengan big man (orang kenamaan) di sana bernama ‘Baginda’ dan pemergian itu adalah penting kerana mahu menguruskan rawatan anak bongsunya yang menghidap Cerebral Palsy (CP) atau lumpuh otak,” katanya.

Shaariibuu berkata, ketika itu dia ada bertanya siapa Baginda dan dimaklumkan mereka (Altantuya dan Abdul Razak Baginda) pernah bertemu di Hong Kong.

“Ketika sedang bercerita Altantuya pergi ke bilik air dan pada masa sama telefonnya berbunyi, saya membuka begnya dan terlihat gambar Altantuya bersama dua lelaki. Ketika itu saya tidak tahu siapa mereka.

“Saya bertanya Altantuya siapa mereka dan dia memaklumkan bahawa itulah orang yang mahu dijumpai di Malaysia,” katanya.

Shaariibuu berkata, hasil pemeriksaannya terhadap barangan milik Altantuya dia menemui beberapa bukti lain iaitu tiket penerbangan, barangan kemas dan resit pemindahan wang ke dalam akaun milik anaknya.

“Saya lihat tiket penerbangan itu dibeli oleh Razak pada 23 Mac 2005 dan resit pembelian barang kemas Habib bernilai RM11,300 atas nama Abdul Razak Abdullah yang dibeli pada 24 Mac 2005.

“Saya juga menemui surat daripada Abdul Razak bertarikh 2 Mac 2006 membayar Altantuya AS$18,000 (RM74,462). Ia ditandatangani Altantuya sendiri,” katanya.

Terdahulu menjawab soalan peguam Ramkarpal Singh, Shaariibuu berkata, dia tidak mengenali rupa paras Abdul Razak.

Menurutnya, pada 19 November 2006, dia menerima panggilan daripada Kementerian Luar Mongolia memaklumkan bahawa Altantuya meninggal kerana dibunuh di Malaysia.

“Saya pergi ke situ dan mereka menunjukkan saya surat rasmi daripada Malaysia dalam bahasa Inggeris. Surat itu dialih bahasa ke bahasa Mongolia. Surat itu memaklumkan seorang warga Mongolia bernama Altantuya Shaariibuu dibunuh.

“Saya berada dalam keadaan terkejut dan tidak ingat apa yang berlaku. Bagaimanapun saya datang ke Malaysia dan bertemu Konsul Kehormat Mongolia di Malaysia, Datuk Syed Abdul Rahman Al-Habshi,” katanya.

Shaariibuu berkata, Deputi Superintendan (DSP) Gan Tack Guan datang menemuinya bersama seorang doktor untuk mengambil sampel darah bagi ujian DNA.

“Saya dimaklumkan bahawa mereka menemui darah, rambut dan tulang di tempat kejadian dan keputusan ujian itu mengesahkan ia milik Altantuya.

“Saya juga dibawa ke tempat kejadian. Sebelum itu saya mencari sami Buddha di sebuah Kuil Buddha Sri Lanka yang terletak di Kuala Lumpur. Mereka (sami Buddha) ada memaklumkan bahawa Altantuya pernah pergi ke kuil itu,” katanya.

Terdahulu, Shaariibuu memberitahu mahkamah bahawa Altantuya yang juga dikenali sebagai Amina boleh bertutur dengan lancar dalam bahasa Russia dan Inggeris serta bekerja sebagai penterjemah sambilan.

Shaariibuu yang bersara dan bekerja separuh masa di sebuah universiti di Ulan Bator, Mongolia.

Terdahulu, dia turut memaklumkan bahawa sejak kematian Altantuya, isterinya, Altantsetseg kini terlantar sakit dan cucunya meninggal pada 2007 atas komplikasi penyakit.

Disiarkan pada: January 26, 2019 @ 11:58am
d