mutakhir

Empat diburu

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Polis sedang berusaha menjejaki empat individu termasuk ibu dan bapa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jo atau Jho Low bagi membantu siasatan berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, individu dikehendaki itu adalah bapa Jho Low, Larry Low Hock Peng, 66, yang pernah tinggal di alamat terakhir di Tanjung Bungah Park, Pulau Pinang.

“Selain itu, polis turut berusaha mengesan ibu Jho Low, Goh Gaik Ewe, 66, dan seorang warga Singapura, Shabnam Naraindas Daswani atau Natasha Mirpuri, 54, yang menetap di alamat terakhir di Parkstone Road, Singapura.

“Seorang lagi individu yang dikehendaki adalah Tan Kim Loong, 40. Dia pernah tinggal di alamat terakhir di Taman Pusat Kepong,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Mohamad Fuzi berkata, polis sedang mengesan mereka bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613)

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu terbabit diminta menghubungi polis dengan segera.

“Orang ramai boleh menghubungi Superintendan Foo Wei Min di nombor 03-26101402 atau Deputi Superintendan Albany Hamzah di nombor 019-2412826 dari Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA),” katanya.

Disiarkan pada: January 26, 2019 @ 12:19pm
d