mutakhir

Terima zakat

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

KEGEMBIRAAN jelas terpancar di wajah 320 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pintu Geng, Kota B di sini selepas menerima sumbangan zakat RM32,000 dalam Karnival PIBG 2019 di Kota Bharu, hari ini.

Sumbangan zakat daripada Bank Rakyat dan individu persendirian secara tidak langsung dapat membantu meringankan beban pelajar terbabit.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Pintu Geng, Wan Nor Anas Wan Yusoff berkata, selain sumbangan zakat, badan bukan kerajaan (NGO) Kota Care turut menyumbangkan 50 beg sekolah kepada murid Sekolah Kebangsaan (SK) Paloh, Pintu Geng.

Katanya, program selama sehari yang bermula jam 7 pagi hingga 5 petang itu merangkumi pelbagai aktiviti membabitkan pelajar, ibu bapa, masyarakat dan agensi kerajaan seperti pertandingan mewarna, seloka bersahut, gerai jualan, dan persembahan buskers.

“Program yang julung kali diadakan ini bertujuan memupuk semangat kerjasama dalam kalangan warga sekolah, masyarakat dan ibu bapa serta menjadi medium bagi mengukuhkan hubungan antara satu sama lain.

“Penganjuran program seperti ini bukan memberi manfaat besar kepada semua pihak khususnya ibu bapa.

“Kerjasama yang erat antara guru, ibu bapa dan masyarakat mampu membantu meningkatkan kecemerlangan pelajar dengan sama-sama berkongsi idea dan menggembeleng tenaga,” katanya ketika ditemui selepas Karnival PIBG 2019, di SMK Pintu Geng.

Hadir sama, Penolong Pengurus Cawangan Bank Rakyat Kota Bharu, Mohd Jafri Abu Bakar dan Pengetua SMK Pintu Geng, Maizan Mohd Nor.

Sementara itu, Maizan berkata, program yang diadakan itu adalah cetusan idea daripada PIBG yang prihatin dengan kebajikan pelajar di sekolah kami.

“Dengan adanya permulaan program seperti ini, ia akan menjadi titik tolak untuk mewujudkan kebersamaan antara pihak sekolah dan komuniti setempat.

“Saya berharap program ini diteruskan pada masa akan datang seterusnya memberi pendedahan bermanfaat kepada, ibu bapa, pelajar dan masyarakat sekitar,” katanya.

Disiarkan pada: January 26, 2019 @ 12:23pm
d