mutakhir

Diam kerana tidak mahu terjerat perangkap lawan

Oleh Shaarani Ismail

“SAYA banyak diam kerana tak mahu terjerat dengan perangkap lawan,” kata calon Barisan Nasional (BN), Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor.

Sambil menafikan bahawa tindakannya yang dilihat lebih banyak mendiamkan diri daripada menjawab pertanyaan media sepanjang berlangsungnya kempen bukan disebabkan beliau tidak menyukai media, sebaliknya mahu mengurangkan isu kerana banyak bercakap.

“Ada yang kata saya tak pandai bercakap dan sebagainya, saya ingin jelaskan ada pepatah atau ayat mengatakan, lagi banyak kita bercakap, lagi banyak kita akan buat hal.

“Bukan saya tak suka media..macam inilah..apa pekerjaan saya dahulu? Sebagai polis saya memberikan media laporan dan sebagainya, saya sebenarnya tidak mahu terperangkap dalam jerat lawan.. lebih banyak cakap lebih banyak jerat akan mengena.. secara asasnya,” katanya.

Beliau berkata, demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan ke pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Menson, Cameron Highlands, hari ini.

Katanya, walaupun beliau adalah penduduk tempatan tetapi beliau tidak mengundi di Parlimen Cameron Highlands kerana pada pilihan raya lalu beliau mengundi di alamat tempat beliau bertugas iaitu di Kuala Lumpur.

Ditanya apa perubahan yang paling ketara berlaku terhadap dirinya sepanjang tempoh berkempen, Ramli ringkas menjelaskan bahawa tidak cukup tidur adalah masalah paling utama.

“Yang paling ketara sekali adalah tak cukup tidur, mungkin disebabkan saya terlalu letih, saya juga kehilangan berat badan hampir beberapa kilo,” katanya.

From: Suresh

Disiarkan pada: January 26, 2019 @ 1:30pm
d