mutakhir

Ditahan kerana minta rasuah RM1,700

Oleh Ifwan Tun Tuah

SEORANG lans koperal polis direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta suapan RM1,700 daripada seorang lelaki bagi membebaskan adiknya yang ditahan berkaitan kes dadah.

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Khas Reman di sini, Nur Haryatie Mohd Saini, selepas permohonan dibuat Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Khairi Abdul Karim, hari ini.

Suspek yang berusia 31 tahun yang ditahan polis sebelum ini, diserahkan kepada SPRM untuk disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

NSTP sebelum ini melaporkan suspek ditahan polis di rumahnya di Taman College Heights, di sini, pada 20 Januari lalu, selepas pengadu membuat laporan polis.

Terdahulu, pengadu iaitu seorang lelaki berusia 30-an dihubungi adik lelakinya berusia 25 tahun memberitahu ditahan polis kerana memiliki syabu, sebelum seorang lelaki datang ke rumahnya menawarkan bantuan untuk membebaskan adiknya.

Pengadu kemudian dibawa oleh lelaki itu ke rumah suspek di Taman College Heights di sini, sebelum suspek yang mendakwa bertugas di Bukit Aman, meminta RM1,000 kononnya untuk mengubah laporan polis dan membebaskan adiknya.

Suspek kemudian meminta tambahan RM1,000 kononnya untuk melupuskan ujian air kencing adiknya yang positif dadah, namun pengadu hanya memberi RM700 sebelum bertindak membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban.

Susulan itu, pasukan Bahagian Risikan Operasi Narkotik menahan suspek dan rakannya yang berusia 38 tahun di rumahnya di Taman College Heights.

Disiarkan pada: January 26, 2019 @ 2:19pm
d